Wanita tidak semestinya memerlukan lelaki, tetapi wanita dan lelaki saling memerlukan, cinta itu anugerah.
Mengapa wanita memerlukan lelaki di dalam hidupnya? Untuk beberapa waktu dahulu, ia begitu memukul-mukul kepala.
Ya, apa perlu seorang wanita yang bebas mempertaruhkan sebahagian besar hidupnya kepada tangan seorang lelaki?
Bukankah lebih hebat jalan dihujung minggu bersama kawan rapat, 
berkenyit-kenyitan mata kepada lelaki kacak yang saling tidak putus dan 
tidak lokek senyum tanda salam perkenalan.
Saya mempunyai seorang rakan, sederhana cantik, tidak terlalu kurus 
tidak terlalu gemuk, tidak terlalu buruk, tidak terlalu jelita, manisnya
 ada, santunnya memikat orang tua, beragama juga kerana selalu sahaja 
diceritakan dia terhendap-hendap membawa sejadah masuk ke bilik stor 
kecil untuk solat, dan dia sentiasa cuba gembira dengan kehidupannya 
yang solo.
Tetapi saya fikir, saya faham apa yang berputar-putar dalam kepalanya.
Dia tidak dapat berdusta betapa kebahagiaan cinta kawan-kawan 
membuatnya cemburu, dan membuatnya selalu terfikir-fikir: Apalah 
perasaan gadis yang dipuja dan dicintai hebat oleh seorang lelaki.
Kawan, saya harap dia membaca artikel ini. Cinta tidak datang 
dipaksa-paksa. Cinta tidak juga datang kala kita mahukannya. Jika kita 
mahukan ia menjadi air, ia datang seperti api.
Tetapi, jika kita bersabar dan menerima ketentuan Tuhan, seorang 
lelaki yang baik akan didatangkan kepada kita juga. Lelaki yang baik itu
 tidak turun dari langit.
Lelaki yang baik itu juga tidak semestinya datang dengan kepala berketayap, janggut selambak atau harta membuak-buak.
Tetapi lelaki yang baik, jika Tuhan mahukan dia menemani kita 
sepanjang hayat, membimbing kelakuan kita, menjaga kemurnian kalbu 
bersama-sama, mendidik, membuka jalan agar kita dapat memperdalam selok 
belok agama yang barangkali selama ini hanya menjadi pakaian dan 
lencana, dan memberikan kita zuriat yang halal lagi dirahmatiNya.
Dia akan datang apabila tiba masanya. Lambat atau cepat, maafkan saya, kerana Allah itu yang lebih mengetahui.
Kawan, kedatangan seorang lelaki dalam kehidupan seorang wanita 
seperti manusia kudung yang diberikan semula sebelah kakinya. Dia 
menyempurnakan kita.
Namun, tidak kira semasyhuk mana sekalipun perkasihan dua jantina, 
selain perkara yang cantik-cantik dan molek-molek, kita, wanita, harus 
bersedia menerima kehodohan-kehodohan perhubungan.
Kerana apabila kita mempersilakan seorang lelaki duduk di samping 
kita untuk sepanjang hayat, bererti kita harus langsung juga 
mempersilakan sekian masalahnya berbaring di bahu kita.
Kerana itu tidak hairan jika kita mendengar ada di kalangan kita, 
gadis, yang merungut-rungut kerana tanggungjawabnya terhadap keperluan 
hidup lelaki tidak juga berkurangan walaupun belum lagi berkahwin.
Ya, lelaki memang mendatangkan bahagia.
Tetapi lelaki juga mendatangkan sengsara. Namun jika kita bijak 
menatangnya, semuanya pasti baik-baik sahaja. Itulah adat dalam 
perhubungan. Yang buruk-buruk pasti ada.
Barangkali daripada si dia, barangkali juga daripada kita, tetapi 
kita harus cermat mengimbangkannya agar jodoh berkekalan ke hari tua.
Bagi yang sedang galak bercinta dengan lelaki permata jiwa tetapi 
menerima tentangan keluarga dua pihak, jika anda fikir anda tidak 
mungkin mampu hidup bahagia tanpa restu ibu bapa, maka ada baiknya anda 
menyerah kalah saja.
Walaupun tidak saling memiliki, dan cinta tidak juga diwali dan dinikahi, anda dan dia tetap pengantin di dalam jiwa.
Barangkali sudah sampai masanya anda mencari sahaja lelaki lain untuk dibawa pulang menemui ibu bapa.
Bercakap soal kahwin, beberapa kenalan rapat yang dewasa bersama-sama.
Sejak zaman gatal-menggatal kenyit mengenyit kala di bangku 
pengajian, kini sudah disunting, dan bakal menjadi isteri kepada lelaki 
yang mereka cintai.
Semoga mereka tak tersalah pilih.
Dan semoga lelaki yang dipilih, melaksanakan tanggungjawab dan melunaskan hak suami isteri.
Wanita, kita dicipta dengan kemuliaan syahadah. Kerana benih seorang 
lelaki, kita ini tersenyawa, dikurnia tenaga sehingga kita mampu 
menyibak jalan keluar dari rahim ibu untuk melihat dunia.
Kerana benih seorang lelaki, kita ini ditiupkan jiwa, menjadi 
manusia, dan mencari seorang lelaki untuk dicintai, sebagaimana ibu 
diilhamkan Tuhan untuk berkasih sayang dengan bapa.
Dan kerana Tuhan yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta, kita wanita, kita
 ini diciptakan daripada lengkungan rusuk kiri lelaki, tidak terlalu 
gagah sehingga mengenepi kudrat lelaki, tidak juga terlalu lemah 
sehingga jatuh menyembah kaki.
Tetapi kerana ciptaan Tuhan itu indah, kita terbit daripada rusuk 
lelaki, bukan dekat kepala untuk dijunjungi, bukan dekat bahu untuk 
membebani, bukan dekat lengan untuk dijulangi, bukan dekat jari untuk 
disakiti, bukan dekat pinggul untuk dihenyaki, bukan dekat lutut untuk 
ditindihi, bukan dekat kaki untuk ditunggangi, tetapi dekat pelusuk hati
 untuk dimulia, disayangi dan dicintai.
Andai lelaki itu burung yang terbang, kita adalah angin lembut yang bersisir-sisiran sepanjang perjalanannya.
Tetapi kerana fitrah kejadian Tuhan wanita itu kebergantungan 
hidupnya harus saja diserahkan kepada seorang lelaki yang boleh 
melindungi, maka kita pun tidak selamanya mahu menjadi angin 
semata-mata.
Kita mahu menjadi bunga, menghias sayapnya. Kita mahu terus 
bersama-sama, terbang dari rendah perkebunan bunga sehingga ke sayup 
langit terbuka, sehingga jalannya yang paling hujung, sehingga kita tua,
 rapuh dan mati.
![]()  | 
| Fitrah mnusia berpasang2 pasg | 
Tetapi kita bahagia dalam dakapannya, semoga kita semua diketemukan dengan jodoh yang baik..InsyaAllah...    


0 comments:
Post a Comment